Ahad, 27 November 2016 | 9:53pm

Derita jari tersepit lubang penapis sinki

BOMBA cuba mengeluarkan jari Mohd Iffan Hazik Mohd Syaful, 2, yang tersangkut pada besi penapis sinki di rumahnya di Alor Pongsu. - Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi.
BOMBA cuba mengeluarkan jari Mohd Iffan Hazik Mohd Syaful, 2, yang tersangkut pada besi penapis sinki di rumahnya di Alor Pongsu. - Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi.

BAGAN SERAI: Seorang kanak-kanak lelaki terpaksa menahan sakit lebih setengah jam selepas jari telunjuk kirinya tersangkut pada penapis sinki di rumahnya di Alor Pongsu, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 7.10 malam, Mohd Iffan Hazik Mohd Syaful, 2, yang membasuh tangan di sinki rumahnya dipercayai menjolok jari ke lubang sinki berkenaan sebelum jarinya tersangkut.

Ketua Operasi BBP Bagan Serai, Penolong Bomba Kanan 2, Nasir Wahab, berkata selepas menyedari jari kanak-kanak itu tersangkut, ahli keluarganya membuka skru besi penapis sinki itu sebelum cuba mengeluarkan jari tersangkut itu menggunakan minyak dan sabun, namun gagal.

Kanak-kanak itu kemudian dibawa oleh ahli keluarganya ke balai bagi meminta bantuan anggota memotong besi berkenaan.

"Jari kanak-kanak itu berjaya dikeluarkan selepas kami memotong besi penapis itu menggunakan alat pemotong khas.

"Kanak-kanak itu kemudiannya dibawa oleh ahli keluarganya bagi mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Bagan Serai," katanya.

Berita Harian X