Ahad, 20 November 2016 | 11:31pm

Budak jatuh eskalator semakin pulih

GEORGETOWN: Kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang retak tempurung kepala selepas terjatuh dari eskalator di sebuah kompleks beli-belah di Bukit Jambul di sini bulan lalu, dilaporkan semakin pulih.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid, berkata Nur Akilah Amani Zuraimi Hashim yang sebelum ini dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini, sudah dibenarkan pulang ke rumah.

"Mangsa sudah dibenarkan pulang selepas menerima rawatan di HPP, sejak 17 Oktober lalu. Bagaimanapun, sehingga kini Nur Akilah Amani masih minum susu menggunakan tiub," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Pada 17 Oktober lalu, Nur Akilah Amani yang didukung di bahu bapanya, terjatuh dari eskalator di tingkat satu sebuah pusat beli-belah di Bukit Jambul.

Mangsa terjatuh apabila bapanya panik apabila tangan anak sulungnya yang berjalan bersama ketika itu tersepit.

Berita Harian X