Ahad, 20 November 2016 | 12:29am
PDRM logo
PDRM logo

2 nelayan dikhuatiri diculik di perairan Lahad Datu

KOTA KINABALU: Dua kru bot nelayan, termasuk juragannya dikhuatiri diculik di perairan Merabung, Lahad Datu, awal malam tadi.

Sumber memberitahu BH, kejadian berlaku pada jam 7.20 malam tadi, namun tidak diketahui status kewarganegaraan mangsa dan bilangan suspek.

Difahamkan, ketika kejadian, mangsa bersama beberapa kru lain sedang menangkap ikan sebelum didatangi sebuah bot yang kemudian membawa lari juragan dan seorang kru menuju ke arah perairan FELDA Sahabat, Lahad Datu.

Bagaimanapun, setakat ini, belum ada maklumat rasmi daripada Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

Difahamkan, pasukan keselamatan sudah menggerakkan asetnya untuk menjalankan pemantauan.

Awal bulan ini, dua juragan warga Indonesia diculik sekumpulan lelaki bersenjata di perairan Kinabatangan.

Berita Harian X