Sabtu, 19 November 2016 | 2:34pm

Remaja 17 tahun maut langgar lori

SLIM RIVER: Seorang remaja maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas lalu terperosok di bawah lori di Kilometer 371.1 Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan awal pagi tadi.

Ketika kejadian jam 2.45 pagi itu, Muhamad Khairul Anuar, 17, pelajar dari Sungai Air Tawar, Selangor yang menunggang Honda EX5 berkonvoi bersama rakannya, Shahzan Nor Azman, 16, juga menunggang motosikal jenis sama, dalam perjalanan dari Kedah ke Klang, Selangor.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Ahmad Mat Isa, berkata Muhamad Khairul Anuar dan rakannya berada di lorong kecemasan apabila gagal mengawal motosikalnya lalu terbabas ke lorong kanan dan terperosok di bawah lori.

"Mangsa tercampak ke tepi jalan dan cedera parah di bahagian kepala serta maut di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi.

Ahmad berkata, siasatan mendapati terdapat kesan brek dan darah di atas jalan dengan kedua-dua remaja berkenaan tiada lesen memandu, manakala motosikal mereka tiada cukai jalan.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Slim River, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Pemandu lori berumur 51 tahun dan kelindannya berumur 25 tahun dari Sungai Siput, Perak tidak cedera," katanya.

Berita Harian X