Ahad, 13 November 2016 | 9:28pm

Pelajar pendidikan khas meninggal dalam kelas

JENAZAH Ahmad Nurhakim dituntut ahli keluarga di Hospital Segamat. - Foto Ahmad Ismail
JENAZAH Ahmad Nurhakim dituntut ahli keluarga di Hospital Segamat. - Foto Ahmad Ismail

SEGAMAT: Seorang pelajar Tingkatan Empat kelas pendidikan khas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paduka Tuan, dekat sini meninggal dunia, dipercayai akibat masalah pernafasan selepas terjatuh, di kelasnya, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi, Ahmad Nurhakim Rostam, 16, dikatakan tiba-tiba memegang dadanya dan sesak nafas sebelum meninggal dunia selepas dikatakan terjatuh ketika mengejar rakannya dalam kelas terbabit.

Bapa mangsa, Rostam Abd Samad, 45, berkata beliau dihubungi oleh pihak sekolah ketika sedang bekerja di Gemenceh, Negeri Sembilan, kira-kira jam 10 pagi.

"Saya dimaklumkan oleh pihak sekolah Ahmad Nurhakim meninggal dunia akibat semput (sukar bernafas) selepas tersembam jatuh akibat tersandung kakinya sendiri ketika sedang mengejar dan menghalang seorang rakannya yang cuba keluar dari kelas.

"Anak saya kemudian duduk kembali di kerusi sebelum didapati sukar bernafas dan disahkan meninggal dunia beberapa minit kemudian oleh pasukan perubatan yang di hubungi pihak sekolah," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Segamat, di sini, hari ini.

Rostam yang bekerja sebagai pemandu traktor, berkata anaknya yang menghadapi masalah lambat dalam pembelajaran, seorang yang ceria dan suka membantu semua rakan dan guru.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd Kamil Sukarmi, berkata setakat ini kes diklasifikasikan sebagai sebagai kematian mengejut (SDR) dan pihaknya masih menunggu laporan lengkap hasil bedah siasat mayat mangsa.

Berita Harian X