Ahad, 13 November 2016 | 6:44pm

Kumpulan lelaki merusuh di Mersing direman

KENDERAAN yang terbabit dalam rusuhan di Endau, Mersing pada malam Jumaat lalu. - Foto Ikhwan Muhammad
KENDERAAN yang terbabit dalam rusuhan di Endau, Mersing pada malam Jumaat lalu. - Foto Ikhwan Muhammad

JOHOR BAHRU: Lapan lelaki yang terbabit dalam rusuhan di Endau, Mersing pada malam Jumaat lalu, direman empat hari hingga Rabu ini bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd, berkata enam daripada mereka ditahan di sekitar Endau, manakala dua lagi menyerah diri.

"Kes ini sudah selesai dan tiada sebarang unsur samseng atau gangsterisme dalam kes ini. Masyarakat diminta berhenti daripada membuat sebarang spekulasi mengenai isu perkauman mahupun gangsterisme berkaitan kes terbabit.

"Kami tidak mahu perkara kecil menjadi besar sehingga mampu menggugat keharmonian dan perpaduan masyarakat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintendan, Cyril Edward Nuing, berkata polis menahan lapan lelaki berusia antara 16 hingga 53 tahun dipercayai terbabit dalam rusuhan kecil yang tercetus di hadapan sebuah premis perniagaan di Taman Fajar, Endau di sini, malam kelmarin.

Beliau berkata, semua lapan individu itu ditahan kira-kira jam 1 pagi di hadapan Balai Polis Endau ketika sekumpulan lelaki berkumpul bagi menyatakan rasa tidak puas hati.

Berita Harian X