Sabtu, 12 November 2016 | 6:37pm

Mayat kedua bot terbalik di Besut ditemui

OPERASI mencari mangsa lemas di Kampung Cegar Batang, Besut. - Foto Rozainah Zakaria
OPERASI mencari mangsa lemas di Kampung Cegar Batang, Besut. - Foto Rozainah Zakaria

JERTIH: Mayat Nurul Hasmila Ismail, 16, yang lemas selepas bot dinaikinya bersama enam ahli keluarga terbalik di Sungai Besut di Kampung Cegar Batang, di sini, ditemui jam 6 petang tadi.

Mayatnya ditemui dalam jarak 10 meter dari mangsa pertama iaitu Nur Hadhirah Afrina Hakman, 9, yang ditemui tengah hari tadi.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Penguasa Bomba Mohamed Zulkhairul Mohamed Razilah, berkata seramai 45 orang terdiri daripada polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk kampung turut serta dalam operasi berkenaan.

"Mayat Hasmila ditemui kira-kira 60 meter dari lokasi bot dinaikinya terbalik sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Besut untuk bedah siasat," katanya.

Dengan itu, operasi mencari dan menyelamat bermula jam 10:45 pagi itu ditamatkan pada jam 6 petang.

Berita Harian X