Sabtu, 12 November 2016 | 3:15pm

8 ditahan terbabit pergaduhan di Endau

MERSING: Lapan lelaki berusia antara 16 hingga 53 tahun ditahan dipercayai terbabit dalam pergaduhan di depan sebuah premis perniagaan di Taman Fajar, Endau, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintendan, Cyril Edward Nuing, berkata mereka ditahan di depan Balai Polis Endau, kira-kira jam 1 pagi tadi ketika sekumpulan lelaki datang bagi menyatakan tidak puas hati terhadap penahanan tiga remaja di premis perniagaan itu.

Katanya, kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 324/453 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan pecah masuk bangunan selain Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

"Saya sebagai Ketua Polis Daerah ingin memberi amaran dan peringatan kepada sesiapa sahaja yang terbabit dalam kejadian seumpama ini supaya jangan sesekali mengambil tindakan sendiri.

"Ini kerana tindakan sendiri boleh memburukkan keadaan dan keharmonian masyarakat. Negara ini mempunyai undang-undang dan biarlah pihak polis yang menjalankan siasatan," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pergaduhan yang tercetus itu berpunca daripada sikap terburu-buru mengambil tindakan tanpa mematuhi undang-undang ditetapkan.

"Perkara seumpama ini seharusnya tidak timbul dalam kalangan masyarakat yang hidup secara bermuafakat dan tindakan yang diambil sendiri hanya menimbulkan masalah tidak diingini," katanya selepas merasmikan Program Muafakat Mesra Zon Mawar di Dewan Terbuka, Jalan Mawar 13, Taman Mawar di Pasir Gudang, hari ini.

KENDERAAN dipercayai milik suspek dirosakkan oleh orang ramai yang tidak berpuas hati dengan tindakan suspek memukul tiga remaja di Taman Tajar, Endau, Mersing, malam tadi. - Foto Ikhwan Muhammad
KENDERAAN dipercayai milik suspek dirosakkan oleh orang ramai yang tidak berpuas hati dengan tindakan suspek memukul tiga remaja di Taman Tajar, Endau, Mersing, malam tadi. - Foto Ikhwan Muhammad

Berita Harian X