Sabtu, 12 November 2016 | 12:45pm

Pergaduhan di Endau berjaya dikawal - Polis

MERSING: Polis menyuraikan pergaduhan membabitkan sekumpulan lelaki di hadapan sebuah premis perniagaan di Taman Fajar, Endau, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintendan, Cyril Edward Nuing, berkata pada awalnya, polis menerima maklumat mengenai tiga remaja berusia 16 tahun dan masih bersekolah dipukul empat lelaki pada jam 11 malam.

Katanya, kejadian berpunca berikutan tindakan tiga remaja berkenaan yang dikatakan cuba memecah masuk sebuah premis perniagaan di taman berkenaan.

"Bagaimanapun, kejadian itu disedari pemilik premis yang kemudian mengejar dan memukul ketiga-tiga remaja berkenaan sehingga mereka cedera di beberapa bahagian badan termasuk tangan dan kepala.

"Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Endah berhampiran selepas kejadian. Bagaimanapun sekumpulan lelaki berkumpul di hadapan balai bagi menunjukkan rasa tidak puas hati dengan tindakan yang diambil suspek," katanya di sini hari ini.

Cyril berkata, pada jam 11.30 malam, kumpulan lelaki berkenaan kemudian menuju ke premis milik suspek sebelum merosakkan tiga kenderaan milik suspek.

"Kami kemudian berjaya meredakan keadaan dan menyuraikan kumpulan terbabit. Kami sedang mengenal pasti identiti individu yang terbabit dengan pergaduhan ini," katanya.

Beliau berkata, dua kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 324/453 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera dan pecah bangunan serta Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Berita Harian X