Khamis, 10 November 2016 | 2:17pm

Curi produk kosmetik, penganggur dipenjara 5 hari

AYER KEROH: Seorang lelaki dipenjara lima hari dan didenda RM200 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah mencuri produk kosmetik wanita bernilai RM49.80 di sebuah farmasi, Isnin lalu.

Majistret Analia Kamaruddin menjatuhkan hukuman itu ke atas BK Adrian, 20, dari Bau, Sarawak sejurus membuat pengakuan mencuri dua bedak Silkygirl bernilai RM49.80 milik Watsons di pusat beli-belah Dataran Pahlawan, di sini, jam 7.45 malam, 7 November lalu.

Mahkamah memerintahkan tertuduh, seorang penganggur, menjalani hukuman penjara tambahan lima hari lagi jika gagal membayar denda.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Nora Yaacob memohon mahkamah memberi hukuman setimpal terhadap tertuduh.

Ketika rayuan, tertuduh yang diwakili pelatih dalam kamar memohon hukuman minimum atas alasan seorang penganggur yang perlu menjaga ibu dan dijangka pulang ke Sarawak, bulan depan.

Berita Harian X