Khamis, 3 November 2016 | 10:11pm

3 tentera melecur dipercayai ketika lupuskan bahan letupan

KEADAAN tangan Mohd Helmi yang melecur selepas terkena bahan kimia. - Foto Syarafiq Abd Samad
KEADAAN tangan Mohd Helmi yang melecur selepas terkena bahan kimia. - Foto Syarafiq Abd Samad

SEGAMAT: Kejadian tiga anggota tentera melecur termasuk seorang cedera parah akibat terkena bahan kimia dipercayai berlaku ketika latihan melupuskan bahan letupan di Kem Syed Sirajuddin, di Gemas, Negeri Sembilan, semalam.

Mangsa, Lans Koperal Mohd Helmi Mat Desa, 26, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 1 tengah hari ketika beliau bersama Lans Koperal Mohd Adha Hadli, 25, dan Anuar Abdullah, 24, menjalani latihan itu bersama 12 anggota yang lain.

Katanya, kejadian itu berlaku ketika cuba melupuskan bahan letupan terakhir yang mengandungi bahan kimia dengan menanamnya ke dalam lubang sebelum ia tiba-tiba meletup.

"Kejadian berlaku terlalu pantas dan tiba-tiba terasa panas di muka dan kedua-dua tangan," kata Mohd Helmi menceritakan pengalamannya ketika ditemui BH di Hospital Segamat di sini, hari ini.

Letupan itu menyebabkan Mohd Adha cedera parah di muka dan tangan serta melecur sebanyak 32 peratus, Mohd Helmi melecur di muka dan tangan sebanyak 27 peratus dan Anuar melecur di muka dan tangan sebanyak 10 peratus.

Difahamkan, mereka menerima rawatan kecemasan di kem berkenaan sebelum dihantar ke Hospital Segamat bagi mendapatkan rawatan kecemasan.

Mohd Helmi berkata, mereka dijadualkan menjalani latihan itu selama seminggu dan berakhir hari ini, namun tidak menyangka kejadian itu berlaku ketika mereka cuba melupuskan letupan terakhir pada lubang yang disediakan.

"Tiba-tiba ia meletup, saya tidak dapat gambarkan kepanasan di muka dan tangan dan kami bertiga hanya mampu menjerit meminta pertolongan rakan.

"Alhamdulillah rakan dan pegawai memberikan bantuan awal dan saya berharap Mohd Adha yang kini dirawat di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) akan sembuh secepat mungkin," katanya.

Berita Harian X