Sabtu, 29 Oktober 2016 | 1:52pm

2 sahabat terbunuh nahas 3 kenderaan

DUNGUN: Dua sahabat terbunuh dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 79.8 Jalan Kuantan-Kuala Terengganu, dekat Kampung Batu 49, tengah malam tadi.

Kejadian jam 12 tengah malam itu mengorbankan Mohd Zakaria Mansor, 21, dan Muhammad Syafiq Shafie, 21, kedua-duanya berasal dari FELDA Kerteh 3.

Kejadian dipercayai berlaku apabila Proton Wira dipandu Mohd Zakaria dipercayai gagal dikawal lalu memasuki  laluan bertentangan sebelum melanggar sebuah pacuan empat roda (4WD) jenis Nissan Navara.

Pada masa sama, pemandu sebuah kereta Perodua Axia gagal membrek lalu merempuh belakang 4WD terbabit.

Kedua-dua mangsa yang parah di kepala dan badan dihantar ke Hospital Dungun.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub, ketika dihubungi berkata, Muhammad Syafiq meninggal dunia kira-kira jam 1 pagi manakala Mohd Zakaria meninggal jam 4.11 pagi.

"Pemandu Nissan Navara dan Perodua Axia pula tidak mengalami kecederaan," katanya.

Berita Harian X