Rabu, 26 Oktober 2016 | 3:52pm

5 nelayan ditahan ceroboh perairan

BOT nelayan dari Thailand yang ditahan Anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bersama lima orang nelayan di Perairan Kuala Perlis. - Foto APMM Kuala Perlis
BOT nelayan dari Thailand yang ditahan Anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bersama lima orang nelayan di Perairan Kuala Perlis. - Foto APMM Kuala Perlis

KANGAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) merampas 400 kilogram (kg) ikan dan menahan lima nelayan warga Thailand kerana menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan di perairan Kuala Sanglang, di sini, hari ini.

Pengarah APMM Pangkalan Kuala Perlis, Leftenan Komander Maritim Mohd Azlan Osman, berkata lima nelayan berusia antara 18 tahun dan 54 tahun itu ditahan ketika menangkap ikan di 2.8 batu nautika dari pantai Kuala Sanglang, kira-kira jam 2.40 pagi.

"Ketika ditahan, mereka yang mempunyai dokumen lengkap bekerja sebagai nelayan memberi kerjasama baik.

"APMM merampas bot nelayan tempatan kelas C, ikan campur seberat 100 kg, ikan baja 300 kg dan peralatan menangkap ikan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Azlan berkata, mereka ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan di kawasan tidak dibenarkan dan boleh dikompaun.

Berita Harian X