Selasa, 25 Oktober 2016 | 1:00pm

Kanak-kanak jatuh eskalator semakin pulih

GEORGETOWN: Kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang kritikal selepas terjatuh dari eskalator di Kompleks Bukit Jambul, di sini, minggu lalu, dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan sudah dipindahkan ke wad biasa.

Pengarah Hospital Pulau Pinang (HPP), Datuk Dr Norsidah Ismail, berkata Nur Akilah Amani Zuraimi Hashim, 2, sudah menunjukkan tindak balas positif, namun masih lagi di bawah pemantauan doktor.

"Sebelum ini pesakit terpaksa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat parah di kepala. Bagaimanapun, selepas lebih seminggu dirawat, kanak -kanak itu itu menunjukkan perubahan positif," katanya pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Anestesia 2016 Peringkat Hospital Pulau Pinang, di sini, hari ini.

PENGARAH Hospital Pulau Pinang (HPP), Datuk Dr Norsidah Ismail. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal
PENGARAH Hospital Pulau Pinang (HPP), Datuk Dr Norsidah Ismail. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

Dalam kejadian 16 Oktober lalu, Nur Akilah yang diletakkan di bahu bapanya, mengalami pendarahan dalam kepala, selain retak tempurung kepala selepas terjatuh daripada eskalator aras satu di sebuah pusat beli-belah di Bukit Jambul, di sini.

Kejadian berlaku ketika bapa mangsa yang sedang menaiki tangga eskalator untuk ke tingkat satu pusat beli-belah berkenaan panik apabila tangan anak sulungnya yang berjalan bersamanya ketika itu tersepit.

Sementara itu, lebih 100 peserta membabitkan doktor, kakitangan hospital dan orang ramai menyertai Sambutan Hari Anestesia bertemakan 'Safe Anaesthesia for Everyone Today' (SAFE-T), yang diadakan di HPP, hari ini.

Dr Norsidah berkata, anestesia adalah satu bidang perubatan menggunakan kaedah pembiusan atau ubat pelali bagi menjalankan pembedahan atau penyakit kronik.

Berita Harian X