Sabtu, 22 Oktober 2016 | 3:57pm

Pengendali paragliding dipercayai lemas

OPERASI mencari dan menyelamat dijalankan bagi mengesan pengendali paragliding, yang dipercayai lemas selepas terjatuh ke dalam laut berhampiran pantai Batu 1, di Port Dickson, pagi tadi. - Foto NSTP
OPERASI mencari dan menyelamat dijalankan bagi mengesan pengendali paragliding, yang dipercayai lemas selepas terjatuh ke dalam laut berhampiran pantai Batu 1, di Port Dickson, pagi tadi. - Foto NSTP

PORT DICKSON: Seorang pengendali peluncur layar atau paragliding, dipercayai lemas selepas terjatuh ke dalam laut berhampiran pantai Batu 1, di sini, pagi tadi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Kamil Abd Jabbar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 11.07 pagi dan melancarkan operasi mencari dan menyelamat tidak lama kemudian.

Sehingga jam 3 petang tadi, katanya, identiti mangsa belum diketahui tetapi berdasarkan keterangan saksi, mangsa yang terjatuh kira-kira 1.5 kilometer dari pantai, terapung kira-kira 30 minit sebelum hilang.

"Operasi mencari dan menyelamat menggunakan bot masih dijalankan di kawasan terbabit," katanya, di sini, hari ini.

Mohd Kamil berkata, operasi turut disertai polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dan Agensi Penguat Kuasa Maritim Malaysia (APMM).

Mohd Kamil turut meminta sesiapa yang kehilangan rakan atau saudara yang mengendalikan paragliding di daerah ini supaya tampil membantu siasatan.

Seorang saksi, Keffli Mohd Darus, 54, mahu menjala kira-kira jam 10.30 pagi sebelum terlihat seorang pengendali paragliding berada di udara antara dua hingga tiga minit sebelum terjatuh ke dalam laut.

"Saya nampak mangsa terkapai-kapai sambil memeluk payung terjun dan hilang dari pandangan kira-kira 30 minit kemudian," katanya yang bergegas membuat laporan polis selepas itu.

Berita Harian X