Rabu, 19 Oktober 2016 | 1:52pm

Mayat mangsa bot terbalik ditemui

MAYAT Abdul Shakair Abd Rahman, yang lemas dalam kejadian sebuah bot nelayan yang terbalik ketika air pasang besar di perairan Kuala Sanglang petang kelmarin dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Tuanku Fauziah (HTF). - Foto Eizairi Shamsudin
MAYAT Abdul Shakair Abd Rahman, yang lemas dalam kejadian sebuah bot nelayan yang terbalik ketika air pasang besar di perairan Kuala Sanglang petang kelmarin dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Tuanku Fauziah (HTF). - Foto Eizairi Shamsudin

KANGAR: Mayat seorang remaja ditemui terapung di perairan Kuala Sanglang, di sini, pagi tadi, selepas dilaporkan hilang sejak semalam apabila bot dinaiki terbalik akibat dipukul ombak.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew, berkata mayat Abdul Shakair Abd Rahman, 18, ditemui oleh pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kuala Kedah dalam keadaan timbul dan terlentang, jam 10 pagi.

"Mayat mangsa tanpa sebarang kecederaan pada tubuh ditemui kira-kira lapan kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.

"Kami menghantar mayatnya ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR)," katanya ketika ditemui pemberita di Jeti Kastam Kuala Perlis, di sini, hari ini.

BH semalam melaporkan, seorang remaja lelaki dikhuatiri menjadi korban pertama fenomena air pasang besar apabila hilang di perairan Kuala Sanglang, di sini, selepas bot yang dinaiki bersama seorang rakan terbalik akibat dipukul ombak, pada jam 2.30 pagi.

Mangsa dipercayai lemas susulan ombak kuat, manakala rakannya yang terselamat, Muhammad Izwan Hamdan, 28, berjaya menyelamatkan diri dengan berpaut pada bot, sebelum diselamatkan rakan mereka yang lain.

Berita Harian X