Selasa, 18 Oktober 2016 | 2:50pm

Remaja hilang, bot terbalik ketika cari udang

KANGAR: Seorang remaja lelaki dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki bersama seorang rakan terbalik akibat dipukul ombak ketika air pasang besar di perairan Kuala Sanglang, dekat sini, awal pagi tadi.

Kejadian dikatakan berlaku jam 2.30 pagi ketika mangsa, Abdul Shakair Abd Rahman, 18, bersama rakannya, Muhamad Izwan Hamdan, 28, turun ke laut menggunakan bot untuk mencari udang.

Mangsa dikatakan lemas selepas dihanyutkan ombak kuat, manakala Muhamad Izwan sempat menyelamatkan diri dengan berpaut pada bot, sebelum diselamatkan bot nelayan lain.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis, Zaharul Amin Ahmad, berkata pihaknya menerima panggilan jam 9.30 pagi sebelum menjalankan kerja mencari dan menyelamat.

"Seramai 21 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kangar serta Kuala Perlis terbabit dalam operasi ini.

"Operasi menyelamat turut membabitkan agensi seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan polis," katanya ketika ditemui.

ANGGOTA Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) memeriksa bot nelayan yang terbalik menyebabkan seorang remaja dikhuatiri lemas di perairan Kuala Sanglang, Kangar, hari ini. - Foto Eizairi Shamsudin
ANGGOTA Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) memeriksa bot nelayan yang terbalik menyebabkan seorang remaja dikhuatiri lemas di perairan Kuala Sanglang, Kangar, hari ini. - Foto Eizairi Shamsudin

Berita Harian X