Selasa, 18 Oktober 2016 | 12:54pm

Termometer pecah di Klinik Kesihatan Gemas

 KAWASAN bilik rawatan di Klinik Kesihatan Gemas ditutup untuk kerja pembersihan dan anggota pasukan HAZMAT bersedia untuk kerja pembersihan.
KAWASAN bilik rawatan di Klinik Kesihatan Gemas ditutup untuk kerja pembersihan dan anggota pasukan HAZMAT bersedia untuk kerja pembersihan.

TAMPIN: Termometer pecah menyebabkan Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, dihantar ke Klinik Kesihatan Gemas, dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Hamazah Ab Razak, berkata kejadian kira-kira jam 9 pagi itu menyebabkan kakitangan dan pengunjung klinik terdedah kepada kandungan raksa dalam termometer itu.

Bagaimanapun, katanya, kejadian itu tidak menyebabkan kecederaan kepada mereka yang berada di klinik itu.

Beliau berkata, sepanjang kerja pembersihan, hanya anggota pasukan HAZMAT dibenarkan berada di bilik rawatan klinik itu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gemas, Penolong Penguasa Bomba Syed Ammar Syed Abbas, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 9.04 pagi dan seminit kemudian, sebuah jentera bersama lapan anggota dihantar ke tempat kejadian.

Katanya, pihaknya juga menghubungi pasukan HAZMAT di Seremban 2 untuk mendapatkan bantuan kerana kejadian itu membabitkan bahan kimia.

Pegawai operasi HAZMAT, Pegawai Bomba Mohd Mahadzir Zakaria, pula berkata, kerja membersihkan tumpahan raksa selesai kira-kira jam 12 tengah hari.

Berita Harian X