Isnin, 17 Oktober 2016 | 3:03pm

Pasangan kekasih didenda dan penjara kerana sembunyikan kelahiran

SEREMBAN: Sepasang kekasih, masing-masing didenda RM3,000 dan penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini kerana menyembunyikan kelahiran bayi di Senawang dekat sini, Ogos lalu.

Majistret Rahimah Rahim, menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhamad Ridwan Suklan, 21, dari Bandar Seremban Selatan, dekat sini dan Nurmayanti, 20, dari Indonesia, yang mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat bayi secara sulit di tandas sebuah stesen minyak di Seremban Jaya, Senawang, pada jam 5.40 pagi, 5 Ogos lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Soo Kok Weng dan Sara Afiqah Zulkipli, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan denda sebanyak RM3,000 dan penjara 12 bulan. Kegagalan membayar denda membolehkan mereka dipenjara tiga bulan.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Rahimah memberitahu tertuduh, tindakan mereka bertentangan dengan agama dan amat tidak berperikemanusiaan.

Berita Harian X