Isnin, 17 Oktober 2016 | 1:57pm

Mangsa nahas di Perak dikenal pasti

SLIM RIVER: Polis mengenal pasti identiti dua mangsa yang maut dalam nahas tiga kenderaan di Kilometer 105 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur berhampiran Sungai Slim, Kampung Balun, di sini, awal pagi tadi.

Kejadian kira-kira jam 6.40 pagi itu membabitkan kereta jenis Toyota Innova, Nissan Sylphy dan Perodua Axia.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Wan Jamil Wan Chik, berkata mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Muhammad Syafie Abdul Latif, 25, manakala seorang lagi hanya dikenali sebagai Muhammad Hafizi.

"Siasatan awal mendapati kereta Axia dipandu Muhammad Hafizi dalam perjalanan dari Slim River ke Tanjung Malim dan dipercayai gagal dikawal sebaik tiba di lokasi kejadian.

"Kereta yang turut dinaiki Muhammad Syafie itu terbabas sebelum memasuki laluan bersebelahan lalu dirempuh Sylphy dari arah bertentangan.

"Innova yang dipandu dari arah Tanjung Malim sempat mengelak tetapi merempuh pokok.

"Kedua-dua mangsa yang maut dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Slim River untuk bedah siasat, manakala mangsa yang cedera dihantar ke hospital sama untuk rawatan," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X