Sabtu, 15 Oktober 2016 | 10:34am

Pesawat Cessna, 6 kapal cari nelayan hilang

KUCHING: Pesawat Cessna Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut digerakkan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang nelayan yang hilang di perairan Tanjung Bako, di sini.

Jurucakap Agensi Penguat Kuasa Maritim Malaysia (APMM) berkata, aset pencarian di laut turut ditambah dengan enam kapal digerakkan hari ini.

Beliau berkata, lokasi pencarian diperluaskan hingga perairan Taman Negara Bako.

"PDRM turut menambah sebuah kapal dari Pasukan Polis Marin membantu operasi SAR.

"Kita harap cuaca baik sepanjang hari ini untuk memudahkan pencarian. Semalam pasukan SAR berdepan angin kuat dan laut bergelora, menyebabkan pencarian ditangguhkan awal," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam Khamis lalu, seorang nelayan dari Muara Tebas, Razali Pet, 36, dilaporkan hilang selepas terjatuh ke laut apabila bot dinaikinya dipukul ombak kuat di perairan Tanjung Po.

Rakannya, Hamdi Jarawi, 47, sempat menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing menggunakan tong minyak sebelum melaporkan kejadian pada jam 6.30 pagi semalam.

Berita Harian X