Khamis, 13 Oktober 2016 | 9:39am

Mayat remaja lelaki terdampar tepi pantai

MAYAT Max Ng Yik Hang, 18, (gambar kecil) ditemui terdampar di Pantai Chenang, Langkawi, pagi tadi. - Foto Ihsan Bomba
MAYAT Max Ng Yik Hang, 18, (gambar kecil) ditemui terdampar di Pantai Chenang, Langkawi, pagi tadi. - Foto Ihsan Bomba

LANGKAWI: Mayat remaja lelaki berusia 18 tahun yang hilang dibawa arus ketika mandi di Pantai Chenang di sini, petang semalam, ditemui jam 7.25 pagi tadi.

Ketua Bomba Zon Langkawi, Fazdlullah Mohd Noor, berkata mayat Max Ng Yik Hang, ditemui terdampar di pantai kira-kira 300 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Katanya, mayat mangsa ditemui anggota bomba yang menjalankan operasi mencari sejak petang semalam.

"Mayat mangsa diserahkan kepada polis sebelum dibawa ke Hospital Langkawi untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.

Semalam, Yik Hang yang menetap di Damansara, Kuala Lumpur, dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas ketika mandi bersama dua rakannya, kira-kira jam 3.35 petang.

Bagaimanapun, dua rakannya, Jack Fong Tai Yung, 15, dan Sow Zu Hui, 16, berjaya diselamatkan orang ramai yang menyaksikan kejadian itu.

Berita Harian X