Rabu, 12 Oktober 2016 | 7:28pm

Remaja hilang dihanyut arus ketika mandi

MANGSA, Max Ng Yik Hang.
MANGSA, Max Ng Yik Hang.

LANGKAWI: Seorang remaja lelaki hilang dihanyutkan arus deras ketika mandi di Pantai Chenang, di sini, petang tadi.

Kejadian kira-kira jam 3.35 petang ketika mangsa, Max Ng Yik Hang, 18, dari Taman Selayang Jaya, Batu Caves, Selangor mandi di pantai berkenaan bersama dua rakan, Jack Fong Tai Yung, 15, dari Damansara, Kuala Lumpur dan Sow Zu Hui, 16, dari Taman Sri Gombak, Batu Caves.

Dua rakannya turut dihanyutkan arus, tetapi sempat menyelamatkan diri.

Ketua Bomba Zon Langkawi, Penguasa Bomba Fazdlullah Mohd Noor, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 3.54 petang sebelum 13 anggota dihantar ke tempat kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).

"Sehingga kini mangsa belum ditemui dan kerja mencari sedang dijalankan, disertai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan polis," katanya.

Fazdlullah berkata, SAR akan ditangguhkan pada jam 7.30 malam sebelum disambung semula pagi esok.

Berita Harian X