Rabu, 12 Oktober 2016 | 7:10pm

Pemandu lori parah nahas 8 kenderaan

ANGGOTA bomba menjalankan kerja mengeluarkan pemandu lori yang tersepit di Nilai.
ANGGOTA bomba menjalankan kerja mengeluarkan pemandu lori yang tersepit di Nilai.

NILAI: Seorang pemandu lori parah dalam kemalangan membabitkan lapan kenderaan di Jalan Nilai di sini, petang ini.

Nahas kira-kira jam 3 petang itu menyebabkan lelaki berusia 30-an berkenaan patah kaki kanan dan tersepit di tempat duduk pemandu.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Pegawai Bomba Kanan II, Khairullizal Abu Kassim, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.11 petang dan bergegas ke lokasi kejadian bersama dua jentera serta sembilan anggota.

Katanya, kemalangan membabitkan sebuah lori membawa pasir dan sebuah lori kosong serta masing-masing tiga kereta dan van.

"Sebaik tiba di lokasi nahas, kami mendapati pemandu lori membawa muatan pasir tersepit di tempat duduknya. Kami mengambil masa kira-kira 45 minit untuk mengeluarkan mangsa," katanya.

Khairullizal berkata, pemandu dan penumpang kenderaan lain tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kemalangan itu.

Berita Harian X