Rabu, 12 Oktober 2016 | 3:26pm

2 pekerja dusun durian disyaki bunuh rakan ditahan

ANGGOTA polis mengangkat mayat seorang warga Nepal ditemui mati di sebuah dusun durian di Titi Teras, Balik Pulau, hari ini. - Foto Mikail Ong
ANGGOTA polis mengangkat mayat seorang warga Nepal ditemui mati di sebuah dusun durian di Titi Teras, Balik Pulau, hari ini. - Foto Mikail Ong

BALIK PULAU: Dua pekerja dusun durian warga Nepal ditahan selepas disyaki membunuh seorang rakan mereka di kawasan kebun di Titi Teras, Sungai Pinang di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada jam 7.45 pagi itu, seorang pekerja dusun berusia 20-an maut ditikam di sebuah pondok selepas berlaku pergaduhan dengan rakannya.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Anuar Omar dalam satu kenyataan, berkata pihaknya yang menerima laporan mengenai kejadian itu menemui mangsa tertiarap dengan kesan beberapa tikaman pada bahagian badan.

Katanya, mangsa dan kedua-dua suspek berusia lingkungan 20-an dipercayai di bawah pengaruh alkohol kerana baharu meraikan perayaan masyarakat Nepal malam tadi.

"Mangsa dan suspek minum minuman keras bersama sebelum mereka bergaduh. Mangsa ditikam serta ditetak beberapa kali oleh kedua-dua suspek yang mabuk. Polis turut menemui pisau dan parang di lokasi kejadian sebelum dua suspek ditahan bagi membantu siasatan," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Berita Harian X