Isnin, 10 Oktober 2016 | 7:47pm

Video viral tampar warga emas, lelaki didenda RM4,000

MELAKA: Seorang pemilik pusat jagaan warga emas didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, akibat rakaman video aksinya menampar seorang warga emas yang mencetuskan viral di media sosial, baru-baru ini.

Majistret Analia Kamaruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap M Seghar, 56, selepas tertuduh mengaku bersalah sebaik dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah. Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa tidak mendaftarkan pusat jagaan dengan cara yang sah di Jalan Klebang Besar, di sini, sekitar 2013.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 5(2) Akta Pusat Jagaan 1993 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara dua tahun jika sabit kesalahan.

Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap seorang warga emas berusia 75 tahun dengan menggunakan tangan. Kesalahan itu dilakukan tertuduh di sebuah rumah jagaan warga emas di Jalan Klebang Besar, di sini, pada jam kira-kira 3 petang, pada 18 Ogos 2016.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dalam rayuannya, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman diringankan. Bagaimanapun Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Nora Yaacob memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh.

Selepas mendengar kedua-dua hujah, Analia kemudian memerintahkan tertuduh didenda RM2,000 bagi setiap pertuduhan dan tertuduh membayar denda berkenaan.

Berita Harian X