Isnin, 10 Oktober 2016 | 11:39am

Ibu bayi maut nahas meninggal dunia

KEADAAN kereta dinaiki Nadzirah Mohamad Syukur, 26, dan anaknya Rizqi Aaliya Mohamad Hakim, berusia sembilan bulan, yang maut akibat kemalangan berhampiran Bukit Tangga di Kuala Klawang, petang semalam. - Foto Ihsan polis

SEREMBAN: Ibu kepada bayi perempuan yang maut dalam kemalangan di Jalan Seremban-Kuala Klawang di sini, semalam, meninggal dunia di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) di sini, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Othman Basri, berkata Nadzirah Mohamad Syukur, 26, meninggal dunia pada jam 12.01 tengah malam, dipercayai akibat parah pada kepala dan beberapa bahagian badan.

Beliau berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan kematian dalam kejadian itu kepada tiga orang.

Dalam kemalangan membabitkan dua kereta bertembung pada jam 4.45 petang semalam, Rizqi Aaliya Mohamad Hakim, berusia sembilan bulan, maut di tempat kejadian, manakala tujuh yang lain termasuk ibu dan bapanya, cedera.

Pada jam 8.30 malam tadi, seorang lagi mangsa kemalangan yang berlaku berhampiran Bukit Tangga itu, Halimah Ludin, 64, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Jelebu di sini.

Berita Harian X