Ahad, 9 Oktober 2016 | 7:54pm

Bayi perempuan maut, 7 cedera kereta bertembung

KUALA KLAWANG: Seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan maut, manakala ibu bapanya serta lima yang lain cedera dalam kemalangan di Jalan Seremban-Kuala Klawang, berhampiran Bukit Tangga di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 4.45 petang itu, bayi terbabit meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan dalaman selepas kereta dipandu bapanya berusia 28 tahun, bertembung dengan sebuah kereta lain.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Jelebu, Kamaruzaimi Harith, berkata ibunya berusia 26 tahun, bapanya serta dua lagi wanita warga Indonesia berusia 46 dan 50 tahun di dalam kereta itu, mengalami kecederaan patah tulang anggota badan.

"Sementara itu, seorang kanak-kanak dan seorang bayi, masing-masing berusia tiga tahun dan lapan bulan di dalam sebuah lagi kereta, tidak cedera, namun bapa mereka berusia 31 tahun, ibu (29 tahun) serta nenek (64 tahun) turut mengalami kecederaan patah tulang anggota badan," katanya di sini, hari ini.

Katanya, semua mangsa dihantar ke Hospital Jelebu untuk rawatan, manakala mayat bayi perempuan itu turut dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat.

Berita Harian X