Sabtu, 8 Oktober 2016 | 2:30pm

Penjenayah sangat dikehendaki ditembak mati

LOKASI suspek ditembak mati oleh polis di Simpang Lima, berdekatan Pekan Gurney, Manjung.
LOKASI suspek ditembak mati oleh polis di Simpang Lima, berdekatan Pekan Gurney, Manjung.

IPOH: Seorang penjenayah sangat dikehendaki mati dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di Simpang Lima, berhampiran Pekan Gurney, daerah Manjung, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 3.15 pagi itu, suspek berusia 29 tahun memandu kereta jenis Proton Waja dalam keadaan mencurigakan di pekan Air Tawar, sebelum diekori polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Gan Tian Kee, berkata sebaik menyedari diekori, suspek memecut laju keretanya hingga ke Simpang Lima sebelum terbabas.

Katanya, ketika dihampiri polis, pihaknya terdengar bunyi tembakan dan melihat percikan api dari arah kereta berkenaan.

"Pegawai dan anggota polis mengambil tindakan melepaskan tiga das tembakan ke arah suspek sebelum menemuinya mati berhampiran kereta berkenaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini sebentar tadi.

Tian Kee berkata, hasil pemeriksaan dalam kereta, polis menemui sepucuk pistol, lima butir peluru, satu kelopak peluru, sebilah parang dan dua telefon bimbit.

"Hasil semakan polis mendapati suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau termasuk kes dadah, mendatangkan cedera menggunakan senjata api dan cubaan bunuh dengan melepaskan tembakan di Kampung Tun Sambanthan, Ayer Tawar, dua tahun lalu.

"Suspek dipercayai giat melakukan kegiatan jenayah di kawasan Sitiawan dan Lumut," katanya.

Berita Harian X