Selasa, 4 Oktober 2016 | 11:28pm

Polis KL teruskan siasatan penemuan bom asap

DUA objek disahkan sebagai bom asap, ditemui di Blok H, PPR Kampung Baru Air Panas, petang tadi. - Foto Saddam Yusof
DUA objek disahkan sebagai bom asap, ditemui di Blok H, PPR Kampung Baru Air Panas, petang tadi. - Foto Saddam Yusof

KUALA LUMPUR: Dua objek yang pada mulanya disangka bom tangan dan ditemui di bawah pokok di tempat buangan sampah berhampiran Blok H, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Air Panas, petang tadi disahkan sebagai bom asap.

Bom asap dalam kanister berwarna hijau bertulis 'Grenade Hand Coloured Smoke Blue MK IV Lot 15' dalam bungkusan plastik putih itu ditemui pada jam 3.30 petang oleh beberapa anggota pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang sedang menjalankan rondaan cegah jenayah (RCJ) di situ.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh, berkata susulan penemuan objek disangka bom tangan itu, sepasukan Unit Pemusnah Bom (UPB) dan Unit Forensik Polis Kontinjen Kuala Lumpur digerakkan ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan.

Hasil pemeriksaan pihak UPB mengesahkan bom asap yang ditemui itu adalah jenis bom asap yang turut digunakan pasukan polis Tentera Mekanikal Rifle Persenjataan (AMRA) dan FRU serta tidak menolak kemungkinan ia turut digunakan pihak tentera.

"Bom asap itu dipercayai dikeluarkan sebuah syarikat penghasilan senjata di Batu Arang, Rawang dan ia adalah edisi Lot 15, 6-09 (Julai 2009)," katanya dalam satu kenyataan media, sebentar tadi.

Katanya, polis akan melakukan semakan dengan syarikat terbabit bagi mendapatkan pengesahan status penggunaan bom asap berkenaan, sama ada ia untuk kegunaan pihak polis, tentera atau sebagainya.

"Hasil pemeriksaan pasukan forensik, menemui tujuh kesan cap jari pada kedua-dua bom asap berkenaan dan semakan akan dibuat bagi mengenal pasti siapa pemilik cap jari berkenaan.

"Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan (ABL) 1957," katanya lagi.

Dalam pada itu, Amar Singh memberi amaran pihak polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang cuba menyalahgunakan bahan letupan untuk mengganggu-gugat ketenteraman awam.

Difahamkan, anggota FRU yang menemui objek berkenaan sedang dalam operasi bantuan untuk Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju membuat RCJ 24 jam selama sebulan bermula semalam di sekitar PPR Kampung Baru Air Panas susulan peningkatan kes dadah serta jenayah di situ.

Berita Harian X