X
Selasa, 4 Oktober 2016 | 11:43am

Polis tutup kawasan SMK Balung

SEKOLAH Menengah Kebangsaan (SMK) Balung.
SEKOLAH Menengah Kebangsaan (SMK) Balung.

TAWAU: Polis mengisytiharkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balung, di sini, ditutup kepada orang awam, termasuk pelajar dan guru susulan insiden helikopter terhempas, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus, berkata ia bagi membolehkan siasatan lanjut mula dijalankan oleh pihak berkuasa, termasuk polis, Jabatan Penerbangan Awam (DCA), bomba dan agensi berkaitan lain.

Pada masa sama, katanya, ia adalah bagi tujuan keselamatan kerana kawasan terbabit terdedah kepada bahaya seperti bahan api daripada helikopter.

"Susulan kejadian hari ini, sesi persekolahan ditutup dan pelajar sudah dibawa keluar daripada kawasan sekolah," katanya kepada media di lokasi kejadian, sebentar tadi.

Dalam kejadian pagi tadi, helikopter Nuri milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terhempas di SMK Balung, menyebabkan 14 anggota TUDM dan lima pelajar cedera.

Fadil berkata, ssemua yang cedera kini dirawat di Hospital Tawau.

Beliau berkata, pusat operasi berhubung kes berkenaan dibuka di lokasi kejadian dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

Berita Harian X