Khamis, 22 September 2016 | 8:37pm

Lelaki ditahan memiliki 252 kilogram daun ketum

Anggota Agensi Keselamatan Sempadan (AKSEM) berjaya menahan sebuah kereta kerana cuba menyeludup 252 kilogram daun ketum bernilai RM10,800 berhampiran Dataran Terinai Timah Tasoh. - Foto ihsan AKSEM
Anggota Agensi Keselamatan Sempadan (AKSEM) berjaya menahan sebuah kereta kerana cuba menyeludup 252 kilogram daun ketum bernilai RM10,800 berhampiran Dataran Terinai Timah Tasoh. - Foto ihsan AKSEM

PADANG BESAR: Seorang lelaki ditahan selepas cuba melarikan diri menggunakan keretanya yang dipenuhi daun ketum seberat 252 kilogram dalam kejadian di Timah Tasoh, di sini pagi tadi.

Jurucakap Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM), berkata suspek berusia 48 berasal dari Pendang, Kedah dilihat dalam mencurigakan ketika memandu kereta jenis Ford Telstar sebelum berlaku insiden kejar mengejar jam 6.10 pagi.

Katanya, suspek dari arah Kangar ke Padang Besar melalui kawasan Beseri enggan memberhentikan keretanya sebelum pasukan AKSEM yang mengejarnya memintas di kawasan Timah Tasoh.

"Pemeriksaan lanjut menemui sejumlah daun ketum yang memenuhi ruangan dalam dan tempat letak barang kereta terbabit berjumlah 252 kilogram yang dianggarkan bernilai RM10,080.

"Siasatan awal, suspek cuba menghantar bekalan daun ketum ke negara jiran yang dipercayai memberi pulangan yang lebih lumayan sebelum terserempak dengan pasukan AKSEM yang melakukan pemantauan," katanya kepada BH di sini hari ini.

Beliau berkata, suspek kini ditahan mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 yang membawa hukuman penjara maksimum empat tahun atau denda RM 10,000.00 atau kedua duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Komander AKSEM Perlis, Deputi Superintendan Syed Basri Syed Syed Ali ketika dihubungi mengesahkan tangkapan.

Berita Harian X