Rabu, 21 September 2016 | 7:24pm

Lelaki maut diseret lori di KESAS

Mayat mangsa kemalangan di KM 33.3 Lebuhraya KESAS, pagi tadi. - Foto ihsan pembaca
Mayat mangsa kemalangan di KM 33.3 Lebuhraya KESAS, pagi tadi. - Foto ihsan pembaca

SHAH ALAM: Seorang lelaki maut selepas di seret sebuah lori sejauh kira-kira 15 meter dalam satu kemalangan di kilometer 33.3 Lebuhraya KESAS arah Shah Alam ke Klang, pagi tadi.

Pegawai Turus Trafik Selangor Deputi Superintendan Sahimi Husin, berkata dalam kejadian pada jam 8.20 pagi itu, mangsa Amirrul Hasni Abd Rani, 32, dalam perjalanan dari arah Shah Alam ke Klang sebelum melanggar bahagian kanan belakang sebuah kereta yang datang dari arah sama dan tercampak ke atas jalan raya.

"Mangsa kemudiannya tergolek ke bawah lori yang datang arah belakang dan terus diseret berikutan pemandu lori itu tidak sempat mengelak," katanya dalam satu kenyataan media.

"Mangsa yang mengalami kecederaan parah meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat dibawa ke Hospital Shah Alam (HSA) untuk bedah siasat," katanya.

Sahimi berkata, tiada kamera litar tertutup di laluan di tempat kejadian dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X