Sabtu, 17 September 2016 | 7:33am

Dua maut nahas di Gopeng dikenal pasti

Anggota bomba melakukan kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan di kilometer 294.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara dekat susur keluar Gopeng. - Foto ihsan Bomba
Anggota bomba melakukan kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan di kilometer 294.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara dekat susur keluar Gopeng. - Foto ihsan Bomba

GOPENG : Dua yang maut dalam kemalangan di Kilometer 294.8 Lebuhraya Utara Selatan arah utara dekat sini, malam tadi dikenal pasti sebagai pemandu kenderaan pacuan empat roda, Ibrahim Abu, 44 dan penumpang tempat duduk belakang, Siti Aishah Abu, 22.

Dalam kemalangan pada jam 8.10 malam itu, mangsa dua beradik itu maut di lokasi kejadian manakala seorang remaja lelaki berusia 11 tahun parah dan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun serta seorang wanita berusia 33 tahun cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon, berkata siasatan awal mendapati kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu Dmax dinaiki kelima-lima mangsa yang beralamat di Pokok Sena, Kedah, dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Ipoh.

Katanya, setiba di lokasi kejadian Ibrahim gagal mengawal kenderaan dipandunya lalu merempuh bahagian belakang sebuah lori di lorong kiri lebuh raya berkenaan.

"Akibat kemalangan itu, pemandu dan seorang daripada penumpang tempat duduk belakang meninggal dunia di tempat kejadian dan dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.

"Mangsa yang cedera dihantar ke hospital sama untuk menerima rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Kong Soon berkata, susulan daripada kejadian itu pemandu lori berusia 67 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

"Pemandu lori berkenaan dibawa ke Hospital Kampar untuk diambil sampel darah dan akan direman untuk siasatan lanjut.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Chat conversation end

Berita Harian X