Khamis, 8 September 2016 | 12:09pm

Lelaki didakwa eksploitasi 6 wanita untuk seksual

Tertuduh, Chong Lim Fatt, dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Ipoh oleh anggota Polis selepas didakwa atas enam pertuduhan memperdagangkan enam wanita untuk eksploitasi seksual di Kampar pada bulan lalu. - Foto Supian Ahmad
Tertuduh, Chong Lim Fatt, dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Ipoh oleh anggota Polis selepas didakwa atas enam pertuduhan memperdagangkan enam wanita untuk eksploitasi seksual di Kampar pada bulan lalu. - Foto Supian Ahmad

IPOH: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memperdagangkan enam wanita untuk eksploitasi seksual di Kampar, bulan lalu.

Chong Lim Fatt, 31, dituduh memperdagangkan enam wanita Thailand berusia antara 30 hingga 40 tahun itu bagi maksud untuk eksploitasi seksual.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di premis Nombor 1, Jalan Siswa, Taman Siswa, Kampar, antara jam 12 tengah hari hingga 2 pagi, antara 2 hingga 18 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Lim Fatt mengaku tidak bersalah terhadap semua enam pertuduhan sebelum Hakim Ikmal Hishan Mohd Tajuddin membenarkan jaminan keseluruhan RM35,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan pasportnya ditahan.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 29 September.

Pendakwaan kes dilakukan oleh Muhammad Fauzi Md Yusof, Fadhli Ab Wahab dan Nurul Azriah Zaid, manakala tertuduh diwakili peguam, Bernard Francis.

Berita Harian X