Khamis, 8 September 2016 | 11:57am

Peniaga ayam didakwa seludup PATI

KOTA TINGGI: Seorang peniaga ayam didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membawa dua lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dalam sebuah kenderaan pada Ogos lalu.

Hendragunawan Murat, 26, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mazana Sinin.  Dia dituduh melakukan perbuatan itu pada jam 5.30 pagi 11 Ogos lalu di Ladang Sawit FELDA Tenggaroh 6, Jalan Tenggaroh Selatan, Mersing dekat sini.

Tertuduh yang membawa dua warga Indonesia bernama Sarju dan Sutisna itu dalam PROTON Waja, didakwa mengikut Seksyen 26 (J) Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM250,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 22 September ini untuk sebutan semula kes.

Berita Harian X