Rabu, 7 September 2016 | 2:20pm

2 didakwa eksploitasi seksual 11 wanita

Loh Soon Aun, 58 (kanan) dan M. Suresh, 26 (dua kiri) ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Taiping, didakwa atas kesalahan memperdagangkan 11 wanita warga asing bagi tujuan eksploitasi seks empat tahun lalu. - Foto NSTP/Yahya Zainuddin
Loh Soon Aun, 58 (kanan) dan M. Suresh, 26 (dua kiri) ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Taiping, didakwa atas kesalahan memperdagangkan 11 wanita warga asing bagi tujuan eksploitasi seks empat tahun lalu. - Foto NSTP/Yahya Zainuddin

TAIPING:  Dua lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas 11 pertuduhan memperdagangkan 11 wanita untuk eksploitasi seksual sejak empat tahun lalu.

M Suresh, 26, dituduh atas enam pertuduhan melakukan eksploitasi seksual terhadap enam wanita warga Thailand di premis V Class Enterprise, 26B dan 28B, Jalan Bestari 3, Pusat Bandar Fasa 2, Parit Buntar, sejak tahun 2012.

Dia didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun serta denda, jika sabit kesalahan.

Seorang lagi tertuduh, Loh Soon Aun, 58,  didakwa atas lima pertuduhan melakukan eksploitasi seksual dengan cara ugutan terhadap empat wanita warga Thailand dan seorang wanita warga Laos di Pusat Kecantikan Vistana Beauty & Spa, Kuala Kurau, sejak tahun 2013.  

Dia didakwa mengikut Seksyen 13 ATIPSOM 2007 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Kedua-duanya mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.

Mohd Sabri membenarkan jaminan RM48,000 atau RM8,000 untuk setiap pertuduhan dengan seorang penjamin kepada Suresh, manakala Soon Aun diberi jaminan RM50,000 atau R10,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

Semua kes berkenaan akan disebut semula pada 23 September ini. Pendakwaaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fauzi Md Yusof, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Berita Harian X