Sabtu, 3 September 2016 | 8:15pm

Setiausaha JKKK Serkam Darat maut nahas

MAYAT mangsa, Mazlan Yaakob (gambar kecil), 63, dibahu jalan selepas terbabit dalam kemalangan maut di kilometer 16 Kampung Pulai, Merlimau. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
MAYAT mangsa, Mazlan Yaakob (gambar kecil), 63, dibahu jalan selepas terbabit dalam kemalangan maut di kilometer 16 Kampung Pulai, Merlimau. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

JASIN: Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Serkam Darat, maut selepas motosikal ditunggangi dirempuh kereta di Kilometer 16 Kampung Pulai, Merlimau di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 9.45 malam itu, Mazlan Yaakob, 63, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Sampornak Ismail, berkata siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan ke kedai berhampiran dari arah Umbai ke Serkam.

"Sejurus tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa dipercayai bergesel dengan sebuah lagi motosikal menyebabkannya terpelanting lalu dirempuh sebuah kereta PERODUA Myvi di laluan bertentangan.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah manakala mayatnya dibawa ke Hospital Jasin untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, remaja berusia 17 tahun yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 itu hanya cedera ringan dan pemandu kereta juga tidak cedera.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X