Isnin, 22 Ogos 2016 | 5:59pm

Dua didakwa perdagang manusia

SUNGAI PETANI: Seorang majikan wanita dan seorang ejen pembantu rumah memohon dibicarakan apabila dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan secara bersama memperdagangkan seorang wanita warga Kemboja berusia 20-an di sebuah premis perniagaan, awal bulan ini.

Tertuduh, Hang Seow Heok, 50, dari Taman Seruling, di sini dan Hor Kean Weng, 31, dari Taman Kempas, di sini, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Saiful Bahari Adzmi.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka dengan niat bersama memperdagangkan Nynat bagi maksud eksploitasi iaitu buruh paksa di alamat Nombor 170 & 171 Jalan Lagenda Height 1, Lagenda Height, di sini, jam 3.20 petang, 3 Ogos lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Syamsul Sinring, manakala Hang diwakili peguam Datuk S Ganeson dan Hor pula diwakili peguam Jason Khor.

Pihak pendakwa tidak menawarkan sebarang ikat jamin terhadap mereka, tetapi memohon jaminan sebanyak RM40,000 dengan dua penjamin bagi setiap tertuduh jika diminta.

Bagaimanapun, pihak pembelaan kemudian merayu jumlah ikat jamin dikurangkan dengan alasan wang jaminan adalah bagi menentukan kehadiran tertuduh yang memberi kerjasama kepada pihak polis.

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan menetapkan 11 September depan untuk sebutan semula kes.

Berita Harian X