Khamis, 18 Ogos 2016 | 5:08pm

Geng Nasa, Geng Zizan Paya Ikan tumpas

SHAIKH Abdul Adzis (tengah) bersama anggotanya menunjukkan parang panjang dan barang rampasan pada sidang media berkaitan kes samun bersenjata dan pecah rumah di IPD Melaka Tengah, Banda Hilir, Melaka, hari ini. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan
SHAIKH Abdul Adzis (tengah) bersama anggotanya menunjukkan parang panjang dan barang rampasan pada sidang media berkaitan kes samun bersenjata dan pecah rumah di IPD Melaka Tengah, Banda Hilir, Melaka, hari ini. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

MELAKA: Polis menumpaskan dua kumpulan penjenayah yang dipercayai mendalangi 26 kes pecah rumah dan samun bersenjata membabitkan kerugian lebih RM100,000 di sekitar bandar raya ini sejak Julai hingga minggu lalu.

Tujuh ahli Geng Nasa dan enam anggota Geng Zizan Paya Ikan ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di beberapa lokasi berasingan sekitar negeri ini antara penghujung Julai hingga 11 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah, berkata Geng Nasa yang melakukan jenayah pecah rumah tumpas susulan tangkapan tujuh lelaki berusia 20 hingga 30 tahun, termasuk ketua kumpulan itu antara 27 hingga 31 Julai lalu.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kumpulan yang dipercayai aktif melakukan jenayah berkenaan sejak dua bulan lalu, terbabit dalam 12 kes pecah rumah sekitar Batu Berendam, Sungai Udang dan Tanjung Kling.

"Polis turut menemui semula hasil curi, termasuk tiga unit televisyen LED, telefon bimbit, kamera digital dan barang kemas dianggarkan bernilai keseluruhan RM90,000.

"Semua suspek, termasuk ketua kumpulan berusia 25 tahun turut memiliki rekod jenayah termasuk dua positif dadah jenis methaphetamine. Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan curi," katanya pada sidang media di IPD Melaka Tengah, di sini hari ini.

Sementara itu, enam ahli kumpulan Geng Zizan Paya Ikan berusia antara 21 hingga 30 tahun, termasuk ketua kumpulannya ditahan di beberapa lokasi sekitar daerah ini sejak 11 Ogos lalu.

"Siasatan mendapati mereka aktif menyamun hotel bajet di sekitar negeri ini membabitkan kerugian keseluruhan RM10,000. Suspek turut memiliki rekod jenayah berkaitan pecah rumah dan dadah," katanya.

Katanya, polis percaya dapat menyelesaikan 14 kes samun di sekitar Bukit Baru, Banda Hilir, Rembia, Merlimau dan Batu Berendam dengan tertangkapnya enam ahli kumpulan berkenaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan dan bersenjata," katanya.

Berita Harian X