Sabtu, 6 Ogos 2016 | 12:47pm
PASUKAN mencari dan menyelamat mengusung mayat Mohammad Asyraaf yang ditemui di Perairan Tanjung Rhu, Langkawi, pagi tadi. - Foto ihsan pembaca
PASUKAN mencari dan menyelamat mengusung mayat Mohammad Asyraaf yang ditemui di Perairan Tanjung Rhu, Langkawi, pagi tadi. - Foto ihsan pembaca

Mayat remaja lemas ditemui

LANGKAWI: Mayat remaja lelaki berusia 18 tahun dari Kangar, Perlis, yang lemas ketika mandi bersama empat rakannya di Pantai Tanjung Rhu, di sini, petang semalam, ditemui jam 11.45 pagi tadi.

Pengarah Penguatkuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Utara, Laksamana Pertama Maritim Tan Kok Kwee, berkata mayat Mohammad Asyraaf Che Amat, ditemui 17 jam selepas dilaporkan hilang kira-kira 100 meter daripada tempat mangsa tenggelam.

Beliau berkata, mangsa bersama empat rakannya dikatakan ditarik arus ke tengah laut ketika mandi di beting pasir di pantai itu pada jam 6 petang semalam.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan jam 6.13 petang sejurus menerima panggilan kecemasan daripada orang awam.

"Bagaimanapun operasi itu ditangguhkan jam 7.45 malam tadi akibat ombak besar dan cuaca gelap, sebelum disambung semula jam 7.30 pagi tadi," katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.

Beliau berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis dan dihantar ke Hospital Langkawi untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga untuk pengebumian.

Berita Harian X