Rabu, 3 Ogos 2016 | 9:14pm

Pelajar politeknik lemas, rakan selamat

Anggota polis dan orang ramai mengusung jenazah Pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Muhammad Nawi Musa, 21 (gambar kecil), yang lemas ketika mandi di Pantai Teluk Bidara. - Foto Rosli Ilham
Anggota polis dan orang ramai mengusung jenazah Pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Muhammad Nawi Musa, 21 (gambar kecil), yang lemas ketika mandi di Pantai Teluk Bidara. - Foto Rosli Ilham

DUNGUN: Pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin mati lemas manakala rakannya berjaya diselamatkan ketika mandi di pantai Teluk Bidara, Seberang pintasan, petang ini.

Muhammad Nawi Musa, 21, yang berasal dari Cendering Kuala Terengganu lemas dipukul ombak ketika mandi bersama 14 rakan yang lain, pada kira-kira jam 6 petang.

Dalam kejadian itu, mangsa yang juga pelajar tahun dua Kejuruteraan Mekanikal dan rakan sekelasnya, Parahtratnam Bala Subramaniam, 20, mengalami kesukaran.

Muhammad Nawi dikatakan tenggelam ke dasar laut, manakala Parahtratnam yang terkapai-kapai, berjaya ditarik dua rakannya sebelum dibawa naik ke darat.

Mangsa yang selamat kemudiannya dikejarkan ke Hospital Dungun untuk menerima rawatan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Amri Mohamad berkata, enam anggota bomba dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.

Katanya, jenazah mangsa ditemui pada kira-kira jam 7 malam dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Berita Harian X