LANGKAWI: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang hilang selepas terjatuh dari jet ski di Pantai Chenang di sini petang semalam, ditemui lemas pagi ini.
Mayat Muhammad Luqman Mohd Izshahan, 17, dari Kampung Baru Panggas, Kangar, Perlis ditemui terapung oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 8.45 pagi, kira-kira 200 meter dari lokasi mangsa terjatuh.
Ketua Bomba Zon Langkawi, Penguasa Bomba Fazdlullah Mohd Noor, berkata operasi SAR diketuai Balai Bomba dan Penyelamat Langkawi dimulakan 6.35 petang semalam sejurus menerima panggilan kecemasan daripada orang awam.
"Operasi SAR yang turut disertai polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) ditangguhkan jam 7.40 malam tadi akibat ombak besar dan cuaca gelap, sebelum disambung semula jam 7.30 pagi hari ini.
"Mangsa yang bekerja sebagai budak pantai ditemui terapung berhampiran batu besar oleh rakannya yang turut menyertai SAR pada jam 8.45 pagi, sebelum memaklumkan pasukan bomba," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, sebentar tadi.
Beliau berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.