Rabu, 27 Julai 2016 | 5:06pm
PDRM logo
PDRM logo

Sempat cabul selepas mencuri

BANDAR SERI JEMPOL: Pencuri yang menceroboh sebuah rumah di tanah rancangan FELDA di sini hari ini, bukan sahaja melarikan barang berharga, malah mengambil kesempatan mencabul seorang gadis.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, mangsa berusia 20 tahun yang tidur bersendirian di biliknya, sempat menjerit sebelum lelaki terbabit melarikan diri melalui pintu hadapan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Noorzainy Mohd Noor, berkata jeritan mangsa menyebabkan ibunya yang tidur di bilik lain terjaga dan meluru ke bilik anaknya.

Katanya, mangsa yang ketakutan memberitahu ibunya mengenai tindakan lelaki tidak dikenali mencabulnya.

"Mangsa dan ibunya memeriksa bilik itu sebelum mendapati rantai emas, wang tunai RM200 dan sebuah telefon bimbit yang disimpan dalam sebuah beg tangan di atas meja solek hilang," katanya di sini, hari ini.

Noorzainy berkata, mangsa tidak dapat mengenal pasti wajah suspek kerana keadaan bilik gelap, manakala siasatan awal mendapati tiada kesan cap jari ditemui selain tiada kesan pecah masuk pada pintu hadapan.

Katanya, ibu mangsa membuat laporan kejadian di Balai Polis Bandar Seri Jempol, kira-kira jam 6 pagi dengan siasatan dibuat mengikut Seksyen 354 dan 457 Kanun Keseksaan, iaitu menyerang dengan niat mencabul kehormatan dan menceroboh rumah.

Berita Harian X