Khamis, 21 Julai 2016 | 3:36pm

Lelaki bunuh isteri kerana cemburu

BILIK hotel lokasi kejadian bunuh seorang lelaki berusia 21 dipercahayai membunuh isterinya menggunakan pisau pemotong sayur di sebuah hotel bajet di Taman Sentosa Johor Bahru. - Foto Ihsan Polis Johor
BILIK hotel lokasi kejadian bunuh seorang lelaki berusia 21 dipercahayai membunuh isterinya menggunakan pisau pemotong sayur di sebuah hotel bajet di Taman Sentosa Johor Bahru. - Foto Ihsan Polis Johor

JOHOR BAHRU: Seorang wanita berusia 21 tahun ditemui mati dipercayai dibunuh oleh suaminya di sebuah bilik hotel bajet di Taman Sentosa, petang semalam, akibat cemburu.

Sejurus kejadian jam 4.30 petang itu, suspek yang bekerja sebagai tukang paip menyerah diri di Balai Polis Sentral dan mengaku bersalah membunuh isterinya menggunakan pisau pemotong sayur.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Sulaiman Salleh, berkata suspek berusia 21 tahun itu dipercayai bertindak demikian selepas mengesyaki isterinya ada hubungan sulit dengan lelaki lain.

"Suspek menikam mangsa sebanyak dua kali pada bahu kanan, mengelar di pipi kanan dan hampir 90 peratus leher mangsa, selain kesan luka di dua tapak tangan dipercayai kesan mempertahankan diri," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan di sini, hari ini.

Sulaiman berkata, pasangan berasal dari Klebang, Melaka, itu dikatakan menginap di hotel bajet kerana mahu mencari pekerjaan di Singapura.

Katanya, suspek berkenaan tidak mempunyai rekod lampau jenayah dan ujian air kencing yang dijalankan juga negatif daripada pengaruh dadah.

Suspek direman sehingga 27 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Berita Harian X