Sabtu, 16 Julai 2016 | 11:45pm

Kanak-kanak 6 tahun dikhuatiri lemas

Zuraini yusoff, menunjukkan gambar anaknya Muhammad Eiffat Amsyar bin Mat Jusoh, 6, tahun yang lemas di Sungai Kelantan di Kampung Pulau Pisang. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
Zuraini yusoff, menunjukkan gambar anaknya Muhammad Eiffat Amsyar bin Mat Jusoh, 6, tahun yang lemas di Sungai Kelantan di Kampung Pulau Pisang. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

KOTA BHARU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai ketika bermain bersama rakan, di hadapan rumahnya di Kampung Pulau Pisang, Jalan Kuala Besar petang tadi.

Mangsa, Muhammad Eiffat Amsyar Mat Jusoh dikatakan bermain di tepi tebing Sungai Kelantan sebelum dikatakan tergelincir ke dalam sungai kira-kira jam 3.45 petang dan hanyut dibawa arus.

Ibu mangsa, Zuraini Yusoff, 42, berkata ketika kejadian dia sedang bekerja di makmal Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badang dan menerima berita daripada anak saudaranya yang memaklumkan Muhammad Eiffat, hanyut di sungai.

"Dia ( Muhammad Eiffat) seorang anak yang aktif dan sering kali bermain di tepi tebing (sungai) berkenaan," katanya ketika ditemui di rumahnya.

Zuraini berkata, mangsa ketika kejadian memakai baju berwarna biru terang dan berseluar pendek sedang bermain bersama tiga sepupunya dan secara tiba-tiba tergelincir ke dalam sungai dan terus dihanyutkan arus.

"Saya berharap anak saya dapat ditemui semula dengan kadar segera dan redha dengan kejadian yang berlaku," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cawangan Kota Bharu, Wan Zaini Bidin mengesahkan kejadian berkenaan dan 12 anggota bomba dengan bantuan dua jentera serta empat anggota Unit Skuba dikerah bagi operasi mencari dan menyelamat mangsa.

Katanya, pihaknya menerima panggilan pada jam 4.21 petang dan operasi mencari bermula pada jam 4.50 sehingga 6.30 petang tadi.

"Operasi mencari akan disambung semula pada jam 6.30 pagi esok kerana cuaca yang gelap menyukarkan proses pencarian.

"Pencarian akan bertumpu dalam lingkungan 500 meter dari tempat kejadian dan kami akan menggandakan usaha untuk memastikan mangsa ditemui secepat mungkin," katanya.

Turut sama dalam operasi mencari mangsa ialah mendapat Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), RELA serta penduduk kampung.

Berita Harian X