Sabtu, 16 Julai 2016 | 4:04pm

Dua rentung kemalangan jalan raya

KEADAAN kereta yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Tuaran Bypass, berhampiran Kampung Kalansanan, Inanam, tengah malam tadi. - Foto Mohd Adam Arinin
KEADAAN kereta yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Tuaran Bypass, berhampiran Kampung Kalansanan, Inanam, tengah malam tadi. - Foto Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Dua lelaki rentung apabila kereta dinaiki terbakar selepas berlanggar dengan sebuah pacuan empat roda di Jalan Tuaran Bypass berhampiran Kampung Kalansanan, tengah malam tadi.

Mangsa dikenali Presley Dexter Pius, 24, yang juga pemandu PERODUA Viva dan Marvin Geoffrey Nati Usop, 29, manakala lelaki yang memandu pacuan empat roda berusia 41 tahun cedera di tangan kiri.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata siasatan awal mendapati kemalangan jam 12.35 tengah malam itu berpunca daripada pemandu PERODUA Viva yang membuat pusingan U di persimpangan kampung berkenaan.

Katanya, pemandu pacuan empat roda dari arah lampu isyarat Batu 5 menuju Menggatal, gagal mengelak yang menyebabkan terlanggar bahagian kiri pintu penumpang.

"Akibat kemalangan itu, kereta berkenaan terbakar. Pemandu dan penumpang kereta rentung kerana terperangkap dalam kenderaan itu," katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Berita Harian X