Khamis, 14 Julai 2016 | 8:12pm

Objek dipercayai bom tangan ditemui

KUALA LUMPUR: Objek dipercayai bom buatan sendiri ditemui dalam kawasan semak berhampiran rel kereta api di Jalan Kolam Air 9, Sentul, dekat sini, semalam.

Objek berbentuk seperti botol mineral yang dibungkus dengan plastik dan surat khabar itu ditemui seorang orang awam kira-kira jam 4.30 petang sebelum melaporkannya kepada polis.

Sumber memberitahu, sepasukan anggota Unit Pemusnah Bom (UPB) dikejarkan ke lokasi sejurus menerima laporan untuk melakukan pemeriksaan ke atas objek berkenaan.

"Objek itu ditemui kira-kira 20 meter dari rel keretapi dan lokasi ia ditemui terletak kira-kira 50 meter dari kawasan perumahan awam.

"Hasil pemeriksaan mendapati objek berkenaan mempunyai sumbu dan mengandungi mercun bola, belerang, kaca dan 'ball bearing' dan ia boleh mendatangkan kecederaan sekiranya meletup, tetapi tidaklah sampai boleh meletupkan struktur konkrit," kata sumber itu.

Menurutnya, objek yang didapati tidak aktif itu kemudian dihantar ke Jabatan Kimia bagi untuk kajian terperinci bahan yang terkandung di dalamnya.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh ketika dihubungi BH, mengesahkan mengenai penemuan objek itu.

"Siasatan masih diteruskan dan setakat ini, belum ada tangkapan mahu pun suspek dikenal pasti bertanggungjawab melakukan perbuatan itu," katanya.

Berita Harian X