Selasa, 12 Julai 2016 | 3:42pm

Pemuda ditetak gagal bayar hutang

KUALA TERENGGANU: Seorang pemuda menerima enam jahitan selepas kepalanya ditetak dengan sebilah parang di Kampung Telaga Pinang, Bukit Tok Beng, Kuala Nerus, kelmarin.

Dalam kejadian pada kira-kira jam 8.35 malam, mangsa yang berusia 25 tahun, berada di rumah keluarganya didatangi lelaki dikenali bersama senjata tajam itu untuk meminta hutang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman, berkata suspek yang berang kerana mangsa tidak mahu membayar hutangnya bertindak menetak menggunakan belakang parang.

Katanya, bagi mengelak kejadian lebih teruk berlaku ke atas mangsa, ibunya membayar RM50 daripada RM450 jumlah hutang kepada suspek.

"Susulan kejadian itu, kita menahan suspek berusia 33 tahun di Rumah Murah Kampung Telaga Daing, Seberang Takir pada jam 11.30 malam bagi membantu siasatan.

"Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan direman hingga Khamis ini," katanya.

Suffian berkata, suspek juga mempunyai rekod lampau membabitkan Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Kita akan menyiasat kes ini mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera menggunakan senjata," katanya.

Berita Harian X