Isnin, 11 Julai 2016 | 1:28pm
Kereta Produa Myvi yang dinaiki tujuh sekeluarga remuk teruk selepas terbabit kemalangan dengan empat kenderaan yang lain termasuk sebuah lori lima tan di Kilometer 12, Jalan Gua Musang-Kuala Krai berdekatan Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR Renok, 4 Julai lalu. - Foto Ramli Ibrahim

Pemandu mengaku tidak bersalah sebabkan kematian 7 sekeluarga

Pemandu lori berusia 24 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Gua Musang terhadap tuduhan menyebabkan kematian tujuh sekeluarga dalam satu kemalangan jalanraya di KM12, Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat RKT Renok, Gua Musang pada 4 Julai lalu. - Foto Ramli Ibrahim

GUA MUSANG: Seorang pemandu lori didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menyebabkan kematian tujuh sekeluarga dalam kemalangan di KM 12 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, pada 4 Julai lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, A Deniyal, 24, mengaku tidak bersalah atas tuduhan berkenaan.

Mengikut kertas pertuduhan, Deniyal didakwa memandu lori dengan melulu sehingga menyebabkan kematian tujuh orang yang berada dalam kenderaan jenis PERODUA Myvi dengan no pendaftaraan W6997A, kira-kira jam 1.20 pagi, pada 4 Julai lalu.

Tujuh yang terkorban, Munira Ahmad Latfi, 29; suaminya, Norazami Mahat, 37; anak mereka Rifqi Najwaan, satu bulan dan Raudahatul Syazwina, 4 tahun.

Yang turut maut, kembar kepada Munira iaitu Mursyida, 29; suaminya, Mohammad Amin Firdaus Zakaria, 29, dan anak mereka, Nur Hana Jannati, lima tahun.

Deniyal didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kematian, yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda RM20,000.

Majistret Mohd Faiz Omar memerintahkan tertuduh dikenakan jaminan berjumlah RM6,000 dengan dua penjamin sementara menunggu tarikh sebutan kes pada 15 Ogos depan.

Sebelum itu, Pegawai Pendakwa, Inspektor G Gopinath memohon mahkamah mengenakan jaminan berjumlah RM10,000 terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengurangkan jaminan itu.

Berita Harian X